Sunday 21 September 2014

Buku | ASET VS LIABLITI VERSI RICH DAD POOR DAD (Cabaran30HariBlog | Hari7)

Aset vs Liabliti


Saya ingin kongsikan definisi kedua-dua perkataan ini dari sudut pemikiran Robert T. Kiyosaki dalam buku beliau bertajuk Rich Dad Poor Dad.

Rich Dad, Poor Dad


Sebelum itu, siapa Rich Dad, siapa Poor Dad? 

Rich Dad ialah bapa angkat beliau. Poor Dad ialah bapa kandung beliau. Rich Dad terlibat dalam bisnes dan banyak mengajar beliau dalam bidang duit buat duit. Poor Dad pula lebih pentingkan pencapaian akademik agar beliau berjaya dapatkan pekerjaan dalam bidang profesional. Siapa pula Robert T. Kiyosaki? Secara ringkasnya korang boleh rujuk gambar di bawah. Untuk lebih detail, korang google lah sendiri ye. Yang pasti beliau lah yang tulis buku Rich Dad Poor Dad ni.


Definisi Aset dan Liabliti


Saya baca buku ni dah lama. Dan ini lah apa yang saya faham:

Aset = segala apa yang memberi aliran tunai masuk lebih banyak daripada aliran tunai keluar kepada anda.

Liabliti = segala apa yang memberi aliran tunai keluar lebih banyak daripada aliran tunai masuk.

Sama tak definisi di atas dengan definisi anda selama ini?

Orang kita cenderung untuk labelkan rumah sebagai Aset dan kereta sebagai Liabliti.

Tetapi jika berdasarkan definisi Robert T. Kiyosaki di atas, rumah boleh menjadi Liabliti manakala kereta pula boleh menjadi Aset!

Bagaimana?


Rumah Ialah Liabliti, Kereta Ialah Aset


Rumah itu Liabliti jika kita bayar rumah itu tiap bulan lebih tinggi daripada wang yang kita terima hasil sewaan (jika disewakan). Atau selamanya adalah Liabliti jika tidak disewakan dan hanya akan bertukar menjadi Aset pada hari kita jual rumah itu dengan pulangan modal berserta keuntungan.

Robert T. Kiyosaki selagi boleh akan memastikan semua hartanya ialah Aset bukan Liabliti. 

Jika rumah disewakan, pastikan sewa bulanan yang anda terima lebih tinggi daripada bayaran ansuran pinjaman malah wang sewa tersebut hendaklah dapat menampung kos-kos lain yang terlibat seperti kos baiki rumah apabila rosak, bayar yuran senggara serta bayar cukai-cukai yang berkaitan. Hanya jika sewa rumah yang anda terima lebih tinggi daripada kesemua kos tersebut, barulah rumah itu menjadi Aset anda.

Kereta pula boleh menjadi Aset jika disewakan dengan pulangan yang lebih besar berbanding harga atau bayaran ansuran kereta itu.

Dengan kata lain jika anda mempunyai harta, belum tentu anda mempunyai Aset. Begitu lah beliau mendefinisikan Aset dan Liabliti.


Lima Bintang


Maksud Aset dan Liabliti tersebut adalah antara isi kandungan buku ini yang menarik perhatian saya. 

Banyak lagi pengisian lain yang boleh membuka minda kita. Lebih-lebih lagi jika kita dibesarkan dalam ruang lingkup keluarga dengan pemikiran 'Poor Dad'. 

Saya sangat sarankan anda membaca buku ini jika masih belum membacanya. Jika anda sudahpun membacanya, jom kongsikan pengisian yang menarik perhatian anda di ruang komen.

Saya bagi buku ini 5 Bintang. :)

Salam sayang,
mami zuli

1 comment: